PORTAL eNIAGA.COOP TRADE
Portal eNIAGA.COOP TRADE adalah inisiatif digitalisasi gerakan koperasi oleh Bahagian Teknologi Maklumat, ANGKASA untuk membantu usahawan koperasi memanfaatkan kemudahan teknologi masa kini. eNIAGA.COOP TRADE ialah platform yang menjual produk dalam talian yang membolehkan pengguna membuat pesanan pembelian, memilih kaedah pembayaran dan menghantar pesanan di Internet.
Setelah memilih barangan atau perkhidmatan yang diperlukan, pengguna mempunyai peluang untuk memilih kaedah pembayaran dan penghantaran dengan segera. Perbezaan utama antara kedai ONLINE dan kedai tradisional adalah kepelbagaian dagangan. Kedai biasa memerlukan premis perdagangan, susunan produk, tanda harga, jurujual, juruwang dan perunding yang berpengalaman sementara kedai dalam talian mempunyai keseluruhan infrastruktur yang dilaksanakan secara tersusun dengan kelebihan teknologi terkini.
Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) telah didaftarkan pada 12 Mei 1971 di bawah Ordinan Koperatif 33/1948. ANGKASA ditubuhkan hasil daripada cadangan Kongres Kerjasama Kedua yang dirasmikan oleh YAB Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia yang kedua.
ANGKASA telah diangkat sebagai sebuah koperasi yang mewakili gerakan koperasi seluruh Malaysia. Pada 23 Mei 1996, perisytiharan pengiktirafan ini telah diwartakan.
“Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh Perenggan 57(2)(b) Akta 502 Akta 502 Akta Koperasi 1993, Menteri mengisytiharkan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) sebagai badan yang mewakili gerakan koperasi Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” menurut [KTPK.(S)07/49/1/9: PN. (PU2) 572/III].
Sebagai badan apex gerakan koperasi negara ANGKASA juga turut menganggotai ASEAN Cooperative Organization (ACO) dan International Cooperative Alliance (ICA). Presiden ANGKASA Dato’ Haji Abdul Fattah Haji Abdullah juga telah dilantik sebagai Presiden ACO.
Visi, Misi, Matlamat & Fungsi
VISI
Pemacu Unggul Kelestarian Sosioekonomi Gerakan Koperasi
MISI
ANGKASA komited untuk menjadi Pemangkin Kecemerlangan Sosioekonomi Gerakan Koperasi ke Arah Globalisasi dengan:
1. Mempelopori dan Memperkasa Jaringan Serta Rantaian Nilai Sektor Ekonomi Koperasi;
2. Membudayakan Keusahawanan Dalam Koperasi;
3. Memperkukuhkan Pengalaman Tadbir Urus Berdasarkan Jati Diri Koperasi; dan
4. Mentransformasi Landskap Ekonomi Koperasi Selaras Dengan Perkembangan Inovasi dan Teknologi.
Matlamat penubuhan ANGKASA terkandung di dalam Undang-Undang Kecil (UUK) ANGKASA (Pindaan 2010). Menurut subseksyen 4(3) Akta, matlamat ANGKASA sebagai badan yang mewakili Gerakan Koperasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa (yakni koperasi apeks) ialah:-
1. menyatukan semua koperasi dalam Malaysia;
2. mewakili Gerakan Koperasi Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa;
3. memperjuang, mengawasi dan menjaga kepentingan dan pembangunan koperasi ahli khususnya dan Gerakan Koperasi amnya;
4. dan memudahkan operasi koperasi ahli.
Fungsi utama ANGKASA yang terkandung di dalam UUK 11 (1) adalah memastikan matlamatnya (ANGKASA) tercapai dengan memberi perkhidmatan sebagaimana yang diperihalkan dalam Undang-Undang Kecil. Di dalam UUK 11 (2), ANGKASA berfungsi untuk :-
1. memberi nasihat dan bantuan kepada koperasi ahli dalam perjalanan pengurusan perniagaan mereka;
2. menggalakkan kajian penyelidikan dan pembangunan berkaitan dengan Gerakan Koperasi;
3. menyedia dan memberi perkhidmatan nasihat dan panduan berkenaan dengan hal pentadbiran, pengurusan, perakaunan, audit, undang-undang, keusahawanan, skim perlindungan sosial termasuk zakat dan wakaf, kemudahan BPA dan lain-lain perkhidmatan untuk kepentingan koperasi ahli dan gerakan Koperasi amnya;
4. memajukan pendidikan, latihan dan penerangan ilmu koperasi, dan ilmu perniagaan, keusahawanan dan perindustrian dalam bidang yang dinyatakan dalam perenggan (o) fasal (1) undang-undang kecil 12;
5. membantu Kerajaan untuk menggalakkan dan mengembangkan Gerakan Koperasi dalam Malaysia selaras dengan Dasar Koperasi Negara dana pa-apa dasar Kerajaan berhubungan dengan koperasi;
6. mengambil dayausaha dan initiatif bagi menggalakkan dan menjalankan aktiviti-aktiviti dalam bidang sosial dan ekonomi Negara;
7. mengadakan atau menerima dan mentadbir kumpulan wang, tabung atau skim khas atau am bagi memajukan Gerakan Koperasi;
8. memainkan peranan dan menyelaras, sejauh mana yang munasabah, penjagaan alam sekitar;
9. berkhidmat sebagai pusat tumpuan fikiran mengenai segala perkara yang berkaitan dengan Gerakan Koperasi dan mengemukakan fikiran dan pendapat mengenai Gerakan Koperasi kepada mana-mana pihak yang berkaitan;
10. mengumpul segala maklumat berkaitan dengan Gerakan Koperasi;
11. mempromosi dan mengembang teknik pengurusan dan perniagaan serta penggunaan alat dan teknologi yang canggih;
12. melibatkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan dan kebajikan termasuk penubuhan pasukan sukarela di dalam dan luar Malaysia; dan
13. pada amnya membantu dan memudahkan operasi koperasi ahli.